Ucapan Penuh YB Lembah Pantai

 

Ucapan Penuh YB Lembah Pantai

Terima kasih atas peluang yang diberikan buat saya mewakili Parlimen Lembah Pantai dalam ucapan menjunjung kasih DYMM YDP Agong.

Hari ini menyaksikan Malaysia  berparlimen dua wajah apabila wujud pendekatan dan keputusan yang berbeza oleh parlimen kepada usul yang dibawa oleh pihak kerajaan berbanding pihak pembangkang.

Bayangkan bagaimana menteri dengan angkuhnya mengumumkan tidak lagi ada isu berbangkit tentang RM2.6Billion di parlimen sedangkan dalam masa yang sama siasatan yang dijalankan oleh Peguam Negara Switzerland, Abu Dhabi, Hong Kong dan Amerika. Jelas, kita masih memerlukan jawapan daripada pihak yang berwajib.

Hatta di Parlimen UK sekalipun, ruang bertanya wujud untuk kes-kes yang sedang terlibat di dalam prosiding mahkamah sekiranya ianya melibatkan kepentingan nasional. Maka mengapa layanan istimewa diberi buat Perdana Menteri Malaysia?

Tan Sri Yang Dipertua,

Negara dalam krisis. Krisis kewangan dan jua kepimpinan. Dalam kemelut krisislah saya pinta agar pendidikan Jangan dikorbankan.
Memadailah dengan saya menyatakan “rotten is the leader who willingly sacrifices education to save his own skin.”

Hutang 1MDB yang bernilai hampir RM45 bilion kita meranap masa depan pendidikan anak-anak Malaysia.

Belanjawan pendidikan dipotong.
Anak-anak kita dimangsakan bermula dari sistem sekolah rendah sehinggalah ke sistem pendidikan tinggi negara.

Maka hari ini saya hadir untuk mengajak semua MP tidak kira latar belakang kepartian, untuk sama-sama mendokong penerusan agenda memfokuskan dana pelaburan buat pendidikan anak-anak di Malaysia.

Ibnu Khaldun dalam makalah Muqadimmah mengemukakan hujah berikut : rakyat ialah wadah mencapai kedaulatan dan kekuatan sesebuah kerajaan. Kekuatan ini lahir daripada kemakmuran ekonomi yang dibina oleh pembangunan modal insan (pendidikan).

Maka bagaimana boleh kita relakan pemotongan belanjawan kepada bidang pendidikan? Apakah justifikasi nilai-nilai yang ingin diterapkan apabila hari demi hari pelajar, guru, mahasiswa dan pensyarah kita ditekan pada setiap peringkat?

Menteri Pendidikan bangga dengan kadar 95 peratus anak-anak Malaysia yang tamat pendidikan rendah. Namun jumlah ini menurun 75 hingga 80 peratus bila sampai ke pendidikan menengah dan akhirnya HANYA 25 hingga 30 peratus yang sampai ke menara gading universiti.

Menteri Pendidikan Tinggi sibuk bercakap perihal masalah ekonomi; hasil minyak yang terbantut; maka keutamaan kerajaan untuk menghentikan subsidi 90 peratus kepada IPT Awam.

Tan Sri Yang Di-Pertua,
Sebagai rekod, Malaysia hanya membelanjakan 4.1 peratus daripada KDNK untuk pendidikan; sedangkan negara negara maju seperti Denmark dan Norway melabur sebanyak 7.8 dan 6.8 peratus daripada KDNK. Manakala Cuba 13.6 peratus dan Timor Leste 16.8 peratus.

Adakah kementerian sedar, di tengah tengah kota bandar, ada anak anak sekolah kebangsaan kita yang masih tidak fasih membaca dan menulis, walaupun sudah berumur 12 tahun? Ada yang datang daripada keluarga susah sehingga hanya sempat menjamah makanan sekali sehari? Atau mengharungi kehidupan bersama ibu atau ayah yang terlalu sibuk mencari nafkah sehingga tiada pilihan selain ponteng dan bekerja di pasar tani?

DI Lembah Pantai, projek kelolaan Akademi Sukarelawan Akademi I Sina – dipengerusikan Puan Rahmahlizah Ali – telah berjaya menjejak hampir 300 pelajar berumur 7 tahun hingga 14 tahun yang masih mempunyai masalah untuk membaca dan menulis. Hanya dalam masa 20 hari; dengan dua sesi pembelajaran, hampir 90 peratus anak-anak ini telah berjaya membaca. Anak-anak ini datang dari PPR Sri Pantai , PPR Kg Limau, dan PPR Sri Cempaka.

Pada hemat saya, penyelesaian buat anak-anak yang terpinggir seluruh Malaysia ditempatkan di sebuah sekolah seperti Sekolah Berasrama Rendah – tidak perlu lama, hanya 3 bulan untuk memastikan mereka mendapat peluang menjana masa depan yang lebih cerah dan baik.

Tan Sri Yang Dipertua,

Negara kita bermula dengan melihat pendidikan tinggi dalam negara sebagai alat mobiliti sosial. Yang menjadi penggerak rakyat serta melahirkan graduan di peringkat tempatan dan luar negara. Mereka ini yang akhirnya pulang ke Malaysia dan membangunkan industri dan dasar negara serta mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada mereka yang kurang bernasib baik dalam bidang akademik.

Tan Sri Yang Di-Pertua,

Pada tahun 1995, Mantan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan Menteri Kewangan yang memastikan hampir 20 peratus pelajar Malaysia dihantar belajar di universiti-universiti terbaik di luar negara.

Dan ini dianggarkan menelan kos sebanyak hampir 800 juta USD – jumlah yang hampir sama dengan yang masuk ke dalam akaun peribadi PM.

Izinkan saya untuk merujuk kata-kata Mantan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim,
“Sejak lebih tiga dekad yang lalu ekonomi Malaysia bergerak di atas landasan Dasar Ekonomi Baru (DEB), satu dasar yang bertujuan untuk menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum dan pengagihan kekayaan negara secara seimbang antara kaum.

Tidak dinafikan kenyataan bahawa DEB telah menghasilkan mobiliti sosial untuk kaum Bumiputera. Pelaburan pendidikan tinggi untuk Bumiputera dibawah DEB, termasuk dengan penghantaran pelajar – pelajar ke luar negara dari awal 70an,80an dan 90an.

Malangnya, kita kini tergelincir daripada landasan asal mobiliti sosial di bawah DEB.

Kini, yang di ulang oleh kerajaan ialah jumlah peminjam PTPTN yang masih belum mengemukakan bayaran.Yang diputus oleh kerajaan ialah pemotongan biasiswa JPA, MARA dan dana Universiti Awam, dana PTPTN turut terkesan dengan belanjawan 2016 dengan pemotongan peruntukan sebanyak 15 % .

Kerajaan sering berselindung di sebalik retorik memelihara kebajikan anak jati negara yang   menyambung pengajian di luar negara, tetapi dalam masa yang sama memutuskan untuk membuat pelaburan yang tidak memberi keuntungan satu sen pun kepada pelajar kita yang berhempas pulas belajar di luar negara. Saya mohon pengerusi MARA, pengarah JPA dan pengerusi lembaga PTPTN kemukakan di mana senarai pelan jangka masa pendek untuk mengatasi isu yang membelenggu pelajar yang terkesan dengan krisisi ekonomi negara.

Pembelian tanah di Australia oleh MARA menggambarkan institusi ini sepatutnya menggunakan wang untuk disalurkan kepada perkara utama seperti membantu pelajar dan mahasiswa yang memerlukan.

Menteri hari ini tergamak menjawab bahawa kerajaan mampu jimat RM240 juta dengan memotong pemberian biasiswa JPA untuk pengajian luar negara. Sedangkan pada masa yang sama RM29 juta digunakan oleh Perdana Menteri untuk membeli 100 unit kereta elektrik Tesla Model S di Amerika. Pembelian jet peribadi oleh Perdana Menteri pula pada 2015 dianggarkan berharga lebih USD 70 juta atau Rm 286 juta, berbanding RM240 juta untuk biasiswa JPA.

Pemotongan dana biasiswa memberi kesan yang besar kepada pelajar. Hentikan pengkomersilan pendidikan kerana pendidikan merupakan pelaburan untuk masa depan.

Kurangnya akses pendidikan tinggi negara menambahkan lagi bukti kelompongan kerajaan dalam aspek pendidikan negara. 60 peratus isi rumah yang bergaji paling tinggi punyai sekurang-kurangnya seorang graduan dalam keluarga; manakala 90 peratus Isi rumah B40 terbawah merangkum mereka yang punyai kelayakan bawah SPM.

Bagaimana pula dengan kebolehpasaran graduan?  Kementerian juga harus cari jalan penyelesaian tentang isu penempatan graduan di bawah  Kementerian pendidikan.Hampir 1,600 di bawah ISMP dan apa yang lebih mengeruhkan adalah kerajaan hanya mengemukakan jawapan supaya mereka ini memohon secara dalam talian di JobMalaysia. Hampir 15-20 ribu pembekuan pengambilan kakitangan kerajaan juga antara faktor kepada lambakan 107,200 graduan yang menganggur.

Justeru, jika kerajaan bijak pastinya mereka akan membelanjakan ribuan malahan jutaan dalam memastikan komitmen melahirkan graduan mahir dan profesional dengan gaji yang wajar serta akhirnya akan membayar cukai; serta membanteras rasuah supaya kualiti graduan dan kebolehpasaran mereka dijadikan keutamaan.                        

Pendidikan rakyat adalah selari dengan pendapatan negara. Bukan hanya bangga mengumumkan 7 juta penerima BRIM, tetapi berusaha mengubah hidup rakyat melalui mobiliti sosial pelaburan untuk pendidikan.

Hari ini genap setahun saya dibebaskan kerana ucapan dalam  parlimen. Saya berharap agar rakyat juga bebas dari cengkaman penafian hak akses pendidikan yang mampu menganjak ekonomi secara keseluruhan serta memberi peluang masa depan yang lebih baik.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHANRAYA KEADILAN

Share
Click Now!

Be the first to comment on "Ucapan Penuh YB Lembah Pantai"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*