BANDAR SERI BEGAWAN – Lebih 290 peserta menyertai Program Amal Tabung Kemanusiaan Palestin: Peduli Ummah – Brunei 4 Gaza yang diadakan di Rimba Point, Kampung Rimba, sebagai tanda solidariti masyarakat Brunei terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Menurut laporan Media Permata, majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan bersama Datin. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, pegawai kanan kementerian, wakil NGO dan penaja program.
Program anjuran AJK Tertinggi Belia Masjid Senegara dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) serta badan-badan belia dan NGO tempatan menampilkan pelbagai aktiviti seperti Larian Virtual 30KM “Brunei Bersamamu, Gaza!”, Pertandingan Video Dakwah 4.0, forum ilmiah, jualan amal dan aktiviti kanak-kanak Brunei Kidz 4 Gaza 2.0.
Antara sesi utama ialah Forum Ilmiah “Palestin: Dari Sejarah ke Realiti Kini”, Talkshow “Gaza di Hati Kitani” dan Forum Perdana “Sebarkan Cinta, Satukan Doa”, yang menekankan kepentingan empati, doa, serta perpaduan umat Islam dalam menyokong perjuangan Palestin.
Program turut disokong oleh pelbagai pihak termasuk Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Rimba Point, Kristal FM, dan beberapa syarikat tempatan lain.
Penganjur menegaskan, usaha ini bukan sekadar pengumpulan dana untuk Tabung Kemanusiaan Palestin, tetapi juga platform untuk menyemai kesedaran, membina empati dan menyatukan masyarakat Brunei dalam semangat kemanusiaan sejagat.
Artikel ini diolah semula berdasarkan laporan asal daripada Media Permata.




